Wednesday, September 10, 2008

Mungkinkah DUNIA ini akan berakhir???


Bila manusia ingin tahu bagaiman Bumi diciptakan..

Mesin pemecut atom terbesar dunia dihidupkan

GENEVA 10 Sept. - Ahli fizik zarah hari ini menghidupkan mesin pemecut atom terbesar di dunia dalam misi untuk menjawab antara persoalan paling rumit mengenai komposisi alam semesta.

Jentera yang dikenali sebagai Large Hadron Collider (LHC) itu dibina dalam sebuah terowong 100 meter bawah tanah dalam kompleks di sempadan Perancis- Switzerland.

Ia direka untuk memecutkan zarah subatom sehingga menghampiri kelajuan cahaya dan kemudian melagakannya dengan satu sama lain.

Pelanggaran itu buat seketika akan mencetuskan suhu 100,000 lebih panas daripada matahari, dan untuk sekelip mata meniru keadaan yang wujud selepas peristiwa Big Bang (Letupan Besar) yang menurut saintis membawa kepada penciptaan alam semesta 13.7 bilion tahun silam.

Zarah-zarah baru mungkin ditemui berikutan pelanggaran itu.

Penemuannya boleh membantu menyelesaikan misteri yang membataskan kefahaman kita tentang komposisi jirim dan bagaimana ia diwujudkan.

"Eksperimen ini bertujuan menimba pengetahuan untuk manusia tentang perlakuan jirim asas,'' kata ahli fizik, Daniel Denegri.

Dalam tempoh operasi LHC selama 10-15 tahun akan datang, timbunan data akan diperoleh daripada pelanggaran tersebut untuk dianalisis oleh universiti dan makmal di serata dunia.

Sejurus selepas 9.30 pagi (3.30 petang waktu Malaysia), kuantiti proton pertama disuntik ke dalam terowong berbentuk cincin sepanjang 27 kilometer di ibu pejabat Pertubuhan Eropah bagi Penyelidikan Nuklear (CERN).

Projek LHC itu memerlukan masa hampir 20 tahun, perbelanjaan enam bilion franc Swiss (RM17.5 bilion) dan kepakaran 5,000 saintis, jurutera dan juruteknik dari hampir 36 negara untuk menjadi kenyataan.


No comments: