Friday, October 22, 2010

Menentang kerana kita BERPENDIRIAN.

Menegur pemerintah tidak sama maksudnya dengan bersetuju ataupun bersama-sama pakatan pembangkang. Kita anak muda adalah agen perubahan dan ada pengaruh dengan magnitud yang luar biasa. Justeru, sebarang keputusan yang diambil kerajaan mesti kita fikirkan dengan matang dan penuh hikmah. Jika keputusan yang baik diambil oleh kerajaan, kita wajar memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi, namun jika dirasakan ada cacat cela yang signifikan, luahkan buah fikiran anda, nyatakan pandangan anda dengan yakin dan penuh tanggungjawab.

Ingat, memberikan pandangan sebegini tidak semestinya anda bersama-sama barisan pembangkang!

Ini kerana pembangkang juga terbuka kepada kesalahan yang sama samada pada masa kini semasa menjadi pembangkang mahupun setelah memegang tampuk pemerintahan negara nanti. Namun apa yang penting di sini, di manakah NILAI pendirian anda?

Bangunan 100 tingkat

Bayangkan jika anda mempunyai wang sebanyak RM 5 bilion, ke mana anda mahu membelanjakan wang ini untuk pembangunan negara?

i) Menaik taraf sistem pengangkutan awam (LRT, KTM) di KL setaraf dengan TFL

ii) Membangunkan Pulau Langkawi sebagai Pulau Ikon sedunia

iii) Membina bangunan Warisan Merdeka setinggi 100 tingkat

iv) Menghantar tambahan 5000 pelajar perubatan ke UK atau 50,000 pelajar perubatan ke Mesir

v) Membina lebih banyak sekolah berasrama penuh?

Perbincangan inilah yang membentuk asas kepada belanjawan negara, sebagaimana yang dibentangkan oleh Perdana Menteri negara baru-baru ini. Dan cadangan ketiga telah diumumkan oleh Perdana Menteri negara. Apa pendapat kita selaku mahasiswa?

Antara hujah-hujah sokongan adalah;

i) Tanah ada value yang tinggi, jadi alang-alang nak bina bangunan, kena bina tinggi

ii) Jana ekonomi negara - tarik pelabur luar

iii) Peluang pekerjaan melalui pengagihan projek-projek

iv) Kita perlukan ikon negara maju

Manakala hujah-hujah balas pula adalah;

i) Subsidi akan dimansuhkan. Rakyat semakin sengkek..

ii) Berapa banyak gedung perniagaan di KLCC dimiliki bumiputera dan rakyat Malaysia pada hari ini?

iii) Rakyat memerlukan bonus dalam zaman kesempitan ini.

iv) Kos awal RM 5b, confirm naik punya, macam projek istana negara, atas 'sebab-sebab' tertentu.

Apa juga hujahnya, golongan yang berusia awal 20-an harus sedar, di mana NILAI pandangan anda? Adakan sekadar disimpan rapi di dalam peti, atau terkunci di dalam peti suara? Bahaskan dengan bijaksana. Ingatlah wahai pemuda sekalian, pandangan anda bernilai, dan hanya BERNILAI (VALUABLE) apabila anda suarakan.

Dan ingat, menyuarakan pandangan tidak semestinya anda menyokong pembangkang!



'Isu Rosmah' pula meyusul

Beberapa hari selepas pembentangan bajet negara, seantero negara gempar dengan aksi-aksi 'panas' semasa Islamic (Islamic?) Fashion Festival (IFF). Pelbagai NGO bangkit membantah tindakan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwa menghina syariat Islam dan Rasulullah SAW dalam penganjuran Festival Busana Muslim di Monte Carlo 9 Ogos lalu. Rupanya ada pakaian yang membuka aurat dan terpampang nama 'Muhammad' secara terbalik di dada si peragawati. Beberapa persoalan di sini;

i) Penggunaan nama 'Muhammad' ini sememangnya satu penghinaan, jika ia benar.

ii) Namun begitu, kalau dilihat dalam konteks yang lebih besar, penganjuran program seumpama ini juga sudah merupakan satu penghinaan besar. Walaupun namanya fesyen Islam, namun pemakaiannya langsung tidak Islamik! Ibaratnya kalau kita mahu menjual kereta Proton, namun kita iklankan di akhbar yang kita mahu menjual kereta Jaguar. Adakah tindakan kita itu adil?



Dalam hal ini, tanpa mengira siapa sekali pun yang bersalah, mahasiswa wajar mengambil tahu akan apa yang berlaku, dan suarakan teguran anda. Bagi yang beragama Islam, apabila cara hidup anda dihina, anda wajib bangkit mempertahankan dan menegur kesilapan yang ada. Dan bagi yang bukan Islam, apabila ada agama lain yang dihina, atas semangat 1Malaysia, kita mesti bersama-sama bersatu dalam membetulkan kesilapan yang telah dilakukan, demi kemaslahatan bersama.

Wahai pemuda, jangan ragu-ragu menyatakan NILAI pendirian anda.

Zaman sekarang kita ada blog, media alternatif, akhbar tempatan dan medan sosial maya seperti Facebook. Nyatakan pendapat anda dengan penuh hikmah dan beradab dan penuh ikhlas.

Dan menyatakan pendirian anda tidak semestinya anda menyokong pembangkang.


Anda sebenarnya menyokong jati diri anda!

Ya Rasulallah.

Antara kelapa dan Mutiara


Apabila kamu berkawan dengan lelaki,
ingatlah ada dua pilihan terbentang


PERTAMA...
kamu jadi seperti KELAPA...
mudah diperoleh..
diparut...diperah..
dan diambil santannya...
lepas itu hampasnya dibuang..


.


KEDUA...
Kamu menjadi sebutir MUTIARA..
berada di dasar lautan...
tersimpan rapi..
dilindungi kulit...
bukan senang nak lihat..
apa lagi mendapatkannya..
hanya orang yang bertuah ...
berusaha menyelami dasar lautan...
dapat memperolehnya..
harganya mahal sekali..
dan ia akan tersimpan selamanya..
jadi..
kamu pilihlah sama ada hendak menjadi KELAPA ataupun MUTIARA..




di sebalik SANTAN..
menjadi penyedap makanan..
diperah segala kenikmatan..
dengan mudah jatuh menjadi titisan..
akhirnya habis kari dimakan..
pulut panggang sisi habis ditelan..
dan SANTAN hilang tak jadi ingatan..
yang terasa lazat hanya kari dan pulut panggang..
orang tak kenang jasa SANTAN..


MUTIARA...
tertanam di dasar paling dalam...
sukar andai mengharap jadi perhatian..
kerana MUTIARA dilindungi oleh cengkerang yang menghadangnya dari ancaman musuh..
namun kiranya ditemui insan..
akan menjadi PERMATA HIASAN..
terletak tinggi di cincin idaman..
atau di leher nan jinjang..
atau di lengan menawan..
makin lama MUTIARA tertanam..
makin tinggi nilainya..

oleh itu...
pilihlah sendiri...
menjadi SANTAN..
mudah jadi perhatian..
tapi hanya sebentar jadi santapan...
kemudian hilang segala nikmat dan pujian..
menjadi MUTIARA..
sukar ditemukan..
namun bila dihias indah gadis rupawan..
hilang ia..
tangisan mengiringi zaman..

Wednesday, October 20, 2010

Melaka Maju v/s Melaka JEREBU


Indeks pencemaran udara (IPU) bagi Muar, Johor dilaporkan pada keadaan amat berbahaya manakala bagi kebanyakan tempat di Melaka pula ia diletakkan dalam keadaan tidak sihat.
Sehubungan dengan keadaan jerebu yang dikategorikan sebagai amat bahaya ini, jabatan pelajaran Muar mengarahkan semua sekolah di daerah itu supaya membatalkan semua aktiviti luar bilik darjah.Pada jam 11 pagi tadi, bacaan di Muar adalah pada 432 sementara bacaan yang diukur di Bukit Rambai, Melaka pada 95 dan bandaraya Melaka pada 111.
Menurut laman sesawang, Jabatan Alam Sekitar, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar - http://www.doe.gov.my/ - bacaan melebih paras 100 dikategorikan sebagai tidak sihat dan bacaan melebihi 300 pula dikatakan amat bahaya.

Kategori sihat adalah ukuran IPU daripada 0 hingga 50 manakala 51 hingga 100 sebagai sederhana.Kualiti udara yang merosot juga dilaporkan di beberapa tempat seperti di utara Jojor, Negeri Sembilan dan Selangor sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Menurut JAS keadaan berjerebu itu disebabkan oleh pencemaran jerebu merentas sempadan dari Sumatera, Indonesia.

Ia berikutan peningkatan bilangan titik panas di Sumatera kepada 244 sejak empat hari lalun, berbanding 80 yang dikesan pada 16 Oktober."Imej satelit NOAA-18 pada 17 Oktober 2010 juga menunjukkan terdapat pergerakan asap jerebu dari kawasan-kawasan kebakaran di Wilayah Riau, Wilayah Sumatera Selatan dan Wilayah Jambi, Sumatera, Indonesia ke Pantai Barat Semenanjung Malaysia," kata jabatan itu.

Tuesday, October 19, 2010

Siapakah kita sebenarnya.

“Ya Allah, aku memohon perlindungan daripadaMu daripada habisnya usia sebelum habisnya siap sedia. Amiin.”


Sungguh.. Dengan perjuangan kita dilahirkan ke dunia… Di dalam gerak tangis kita mulai membuka mata. Di dalam bedungan ibu kita menggerakkan badan melepaskan ikatan bedung. Lepas dari asuhan ibu, kita merangkak, kita ansur tegak dan kita jatuh, lalu kita tegak lagi dan jatuh lagi. Kemudian tegak terus untuk pergi berjuang ke medan permainan, lalu ke medan hidup, lalu ke medan perjuangan dalam batin kita sendiri, menegakkan yang baik dan melawan yang buruk.




Selama terus hidup kita kerjakan demikian, menjalankan titah perintah Tuhan Yang Maha Esa. Berapa pun yang dapat kita kerjakan, harus kita syukuri. Setiap hari atau masa kita hitunglah laba dan rugi. Sampai kelak datang panggilan.

Panggilan yang tidak dapat ditakhirkan walau satu saat dan tak dapat pula ditaqdimkan walaupun satu saat. Panggilan yang tak dapat dielakkan oleh setiap yang bernyawa.

Maka terbukalah pintu kubur. Maknanya pindahlah kita dari hidup fana kepada hidup baqa, dari hidup dunia kepada hidup Akhirat. Demikianlah kita menempuh hidup; lahir, berjuang dan akhirnya mati.

Betapa juapun kita harus percaya, bahawa kebaikan juga yang menang. Sebab asal-usul kejahatan kita bukan jahat, hanya baik semata. Kalau kejahatan pernah menang, hanyalah lantaran dorongan nafsu. Bila nafsu telah reda, kebaikan jualah yang kita junjung. Sebab itu hendaklah kita percaya penuh dengan iman dan baik sangka kepada Tuhan.

Apabila ruang di bumi tertutup, ruang di langit terbuka luas untuk kita.

Itulah Falsafah Hidup!



:: Petikan Buku ”Falsafah Hidup” karangan Prof. Dr. Hamka ::

Monday, October 18, 2010

KAU yang terbaik.dalam mencatur segalanya


Allah tidak menjanjikan hidup ini tidak pernah susah. Cuba perhatikan kisah yang cuba disampaikan ini.

Seorang Executive muda yang berjaya sedang memandu disebuah perkampungan di pinggir Bandar. Ia memandu agak laju dengan sebuah kereta yang baru sahaja dibelinya.

Sambil ia memandu perlahan-lahan ia sedang memerhatikan seorang anak kecil dicelah-celah kereta yang diletakkan ditepi jalan, ia memperlahankan keretanya untuk melihat sesuatu yang difikirkannya. Seelok-elok sahaja kereta tersebut melintasi kawasan tersebut; anak kecil tidak kelihatan tetapi seketul batu dilontarkan tepat mengena pintu disebelah kanan keretanya



Apalagi Executive muda tersebut menekan brek sekuat hatinya dan berundur ke tempat dimana Anak kecil tadi berdiri. Dengan marahnya dia keluar dari kereta terus meluru ke arah Anak kecil, menarik tangan anak kecil dan menghempasnya ke kereta yang terletak ditepi jalan dan terus memarahi Anak kecil tadi.


"Apa ni ?
Siapa awak ?
dan apa ke jadahnya awak berada disini ?

Itu kereta baru, mahal dan susah nak baiki ?
Awak tau tak ?
Kenapa awak buat ini semua ? jerit Executive tersebut..

Anak kecil itu tunduk sedih, sayu dan memohon maaf ; "Saya meminta maaf Pakcik, Saya tak tahu apa patut saya buat, ia merayu.

Saya melontar batu kerana tak ada orang yang berhenti disini apabila sayapanggil".Dengan linangan air mata ia menunjukkan ke satu sudut yang tidak jauh dari situ.

"Itu abang saya , ia jatuh dari kerusi roda dari tebing di sebelah dan tak ada orang yang dapat mengangkatnya kembali. Boleh takPakcik menolong saya, ia cedera dan ia terlalu berat untuk saya.

Dengan rasa terharu, Executive muda tersebut melepaskan anak kecil tersebut dan terus mengangkat abangnya dan meletakkannya kembali kekerusi roda.

Terima kasih, pakcik. Saya doakan pakcik selamat dunia dan akhirat.Tak dapat digambarkan dengan perkataan,

Executive muda hanya melihat dengan sayu, Anak kecil tersebut menyorong abangnya yang cacat dan cedera pulang menuju ke rumahnya. Anak sekecil itu boleh mendoakannya akan kesejahteraan hidupnya.Executive muda tersebut berjalan perlahan ke arah kereta, WAJA kemek teruk tetapi ia membiarkan saja tanpa dibaiki.

Ia mengigatkannya bahawa kita tidak perlu berkejar-kejar dalam kehidupan ini sehinggakan seseorang melontar batu hanya kerana hendakkan perhatian .

Sesungguhnya Allah tidak menjanjikan hidup ini tidak pernah susah,
bersuka-ria tanpa kesedihan,
Panas tanpa hujan tetapi ia memberi kita kekuatan,
menenangkan kita semasa kesedihan dan menunjukkan jalan yangsebenar-benarnya.
Janganlah kita sombong dengan kelebihan yang sementara.

Kerana segalanya hanyalah pinjaman semata-mata dan ALLAH adalah pemilik yang kekal abadi dan DIA adalah pencatur yang terbaik berbanding segalanya.